Monday, July 2, 2007

Mahathir vs Mahasiswa: Apabila 2M Benar-benar Berseteru
yaqon sakral


Dr. Mahathir dalam sejarah hidupnya pernah menjadi mahasiswa dan pernah pula menggunakan pentas mahasiswa serta pernah memusuhi mahasiswa. Ketiga-tiga situasi ini mempunyai perbezaan yang ketara tetapi memberi inotasi yang sama, iaitu, interaksi Dr. Mahathir dengan mahasiswa sama ada dalam bentuk positif atau pun negatif.

Apabila dilihat sejarah ini, maka kita dapat membuat kesimpulan bahawa Dr. Mahathir akan mempergunakan mahasiswa andainya situasi ketika itu mendesak ke arah itu, manakala apabila kewujudan golongan mahasiswa menjejaskan kepentingannya, maka beliau tanpa ragu-ragu akan mengambil tindakan untuk melumpuhkan tenaga mahasiswa.

Sewaktu Dr. Mahathir dipecat dan ditendang keluar oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman, maka Dr. Mahathir melihat sentimen anti-Tunku yang sudah sedia ada pada golongan mahasiswa perlu dieksploitasi untuk membalas dendam terhadap Tunku.

Maka, penglibatan Dr. Mahathir dengan mahasiswa ketika itu memberikan pengalaman kepadanya, betapa kuasa mahasiswa andainya digembleng dan dijanakan, dapat memberikan impak yang besar terhadap mana-mana pemimpin kerajaan, hatta Perdana Menteri sekali pun.

Apatah lagi, dalam sejarah kebangkitan dan pergerakan kuasa mahasiswa yang terancang dan bersepadu di mana-mana ceruk dunia sekali pun adalah kuasa yang tidak boleh dipandang enteng dan mampu merubah, atau sekurang-kurangnya memberikan kesan kepada senario yang sedia ada.

Al-Ikhawanul Muslimun, Revolusi Iran, kebangkitan Mujahiddin dan Taliban di Afghanistan, Intifadhah di Palestin, Tragedi Medan Tiannanmen di Republik Rakyat China, tunjuk perasaan di Korea dan yang terbaru Reformasi di Indonesia memberi petunjuk jelas kekuatan dan keampuhan gerakan mahasiswa tidak kira apa ideologi yang mereka anuti.

Justeru, berdasarkan pengalaman peribadi dan juga pengalaman dunia, maka Dr. Mahathir melihat golongan mahasiswa perlu diberikan tumpuan khusus dan juga kengkangan yang rapi supaya gerakan mahasiswa yang sebenar tidak terjana dan terancang. Boleh sahaja, golongan mahasiswa menggerakkan kekuatan mereka, tetapi gerakan itu perlu berjalan dalam frame yang telah dibentuk.

Dr. Mahathir juga menyedari sebarang tindakan keras dan ganas untuk membendung kebangkitan dan perjuangan mahasiswa tidak memberikan keuntungan yang besar, melainkan memberikan kerugian walau pun mungkin gerakan itu dapat dipatahkan. Ini disebabkan oleh, usaha keras dan ganas terhadap mahasiswa, bukan sahaja meninggalkan dendam dan kebencian yang menyala-nyala, bahkan memberikan kesan terhadap persekitaran mahasiswa itu sendiri, termasuk ibu bapa dan masyarakat.

Malah, kengkangan terhadap penglibatan mahasiswa yang dibuat secara tidak hati-hati juga memberikan kesan terhadap survival dan sekuriti politiknya. Akta Universiti dan Kolej Universiti contohnya, adalah betapa undang-undang dan akta yang dibuat secara melulu tidak mampu bertahan lebih lama untuk menyekat kuasa mahasiswa kerana dari tahun ke setahun kekuatan AUKU semakin terhakis.

Malah, sejak awal AUKU diperkenalkan lagi, penentangan mahasiswa semakin tidak reda, kecuali pada era 90-an yang menyaksikan AUKU berjaya untuk memadamkan api kebangkitan mahasiswa secara terancang dan bersepadu. Selepas itu, AUKU bukan sahaja semakin tidak relevan, bahkan AUKU sendiri menjadi katalis untuk melahirkan golongan mahasiswa yang bijaksana dan berstrategi pula.

Apalagi dengan tindakan ganas secara langsung juga tidak meredakan sebarang penentangan fizikal dan fikrah terhadap kuasa politik UMNO, bahkan semakin meraih simpati daripada masyarakat betapa kerajaan seorang diri Dr. Mahathir tidak bertimbang-rasa dan berperikemanusian terhadap anak-anak rakyat Malaysia yang juga terdiri daripada anak-anak ahli UMNO.

Rakyat tidak dapat menutup mata melihat tindakan luar batas pihak polis dan FRU terhadap mahasiswa yang berdemonstrasi yang tidak memiliki sebarang senjata hatta pisau lipat sekali pun. Tindakan-tindakan pihak keselamatan ini walaupun atas nama keadilan sekali pun sekiranya dibuat secara ganas dan keras tidak dapat diterima oleh rakyat.

Justeru, walaupun pihak keselamatan mampu meleraikan demonstrasi yang diadakan oleh mahasiswa, tetapi kejayaan itu tidak mampu meleraikan semangat anak-anak muda untuk menegakkan dan menuntut keadilan. Masyarakat tidak betah dan sanggup untuk melihat anak-anak mereka dibelasah dan diganyang walaupun untuk memulihkan keamanan. Hakikatnya tindakan keras dan ganas tidak mungkin mengembalikan keadilan dan kepercayaan masyarakat mahasiswa dan masyarakat umum terhadap kerajaan seorang diri Dr. Mahathir.

Oleh itu, Dr. Mahathir terpaksa mengerahkan setiap institusi yang berkaitan dan instrumen kerajaan untuk berhadapan dengan mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi ini. Malah, Pergerakan Pemuda UMNO terpaksa turun daripada kerusi empuk mereka ke gelanggang mahasiswa di universiti. Malangnya, Pemuda UMNO turun berjumpa dengan mahasiswa dalam keadaan bongkak dan angkuh dengan menganggap mereka sebagai pemimpin besar negara yang harus diterima kata-kata mereka secara bulat-bulat dan tidak boleh dikritik langsung. Jadilah sebarang pertemuan dengan mahasiswa sebagai pertemuan satu hala yang mereka menggunakan kesempatan yang ada hanya untuk menyalahkan pihak mahasiswa tanpa mahu menerima muhasabah daripada mahasiswa.

Walaupun ada di kalangan pemimpin Pemuda atau UMNO sendiri yang mempunyai pengalaman sebagai pemimpin gerakan mahasiswa suatu ketika dulu, tetapi mereka meminggirkan langsung pengalaman yang ada dan tidak mahu melihat kegawatan yang melanda muka bumi Malaysia daripada kaca mata mahasiswa. Apa yang mereka mahu mahasiswa hanya duduk di sekitar kampus, menghadiri kuliah yang diwajibkan dan kemudian lulus dalam peperiksaan yang diadakan. Inilah fakta yang tidak boleh diterima oleh mahasiswa, lantas mahasiswa menolak kehadiran mereka sebagai saluran untuk menyampaikan hasrat mahasiswa kepada kerajaan.

Adalah cukup aneh, apabila Pemuda UMNO meminta mahasiswa menerima kehadiran mereka sebagai orang tengah dengan kerajaan, tetapi dalam masa yang sama tidak mahu menerima suara mahasiswa, sebaliknya mendesak mahasiswa menghentikan perjuangan mereka. Alasan yang cukup klise adalah mahasiswa tidak seharusnya terlibat dalam politik kepartian yang mereka sendiri jahil tentang maksud kata-kata mereka.

Kegagalan Pemuda UMNO ini boleh dikatakan sebagai kegagalan yang buat kesekian kalinya Dr. Mahathir untuk meraih simpati dan sokongan mahasiswa untuk berhadapan dengan apa yang didakwa sebagai penjajahan bentuk baru. Dr. Mahathir sudah tidak mendapat tempat di kalangan mahasiswa sebagaimana yang berlaku terhadap Tunku suatu ketika dulu.

Tindakan konfrantasi dengan mahasiswa hanya membina dan meluaskan jurang yang sedia ada sehingga tidak memungkin titik pertemuan antara kerajaan seorang diri Dr. Mahathir dengan gerakan mahasiswa.

Adalah dipercayai perlantikan Musa Mohamed, Abdul Aziz Shamsuddin dan Mahadzir Mohd Khir dalam Kementerian Pendidikan adalah sebagai pelengkap terhadap konfrantasi dengan mahasiswa. Pengalaman yang ada pada mereka bakal digunakan untuk berhadapan dengan kuasa mahasiswa yang semakin kuat dan berkembang.

Seandainya gerakan mahasiswa di Malaysia dan juga di luar negara dapat bergabung dalam satu front dan berintima’ dengan penuh istiqomah terhadap sebarang isu serta menjadi suara masyarakat, maka pasti kerajaan seorang diri Dr. Mahathir akan semakin tertekan dan terdesak.

Kesatuan yang ampuh inilah yang digeruni oleh Dr. Mahathir kerana dengan wujudnya penggemblengan tenaga dan fikrah, maka serangan terhadap sebarang usaha yang tidak demokratik dan juga penyelewengan akan datang dari segenap arah dan penjuru.

Dr. Mahathir telah banyak membuat musuh dalam bidang pendidikan ini sahaja. Selain daripada mahasiswa, Dr. Mahathir juga menguris hati para guru, pakar bahasa dan pendidik di IPT. Seandainya mahasiswa mampu bersatu dengan lebih cemerlang dan kukuh, ditambah pula dengan sokongan daripada pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka, pastilah Dr. Mahathir bukan sahaja bakal berdepan dengan kekuatan ini seorang diri, bahkan akan terpaksa pula benar-benar menjadi seorang diri tanpa sebarang bantuan daripada jeneral-jeneralnya yang lain.

Selain daripada mahasiswa, cerdik pandai mana lagi yang mahu diharapkan untuk menolong Dr. Mahathir? Guru KEMAS?

No comments: